gro orang asli

KUALA LIPIS: Seorang bapa kepada gadis Orang Asli kini risau anaknya bersama 11 rakan sekampung, terjebak dengan aktiviti tidak bermoral termasuk menjadi pelayan pelanggan (GRO) selepas dilarikan sindiket yang menyamar ejen mencari pembantu rumah.

Ismail anak Pendek, 60, mengesyaki sindiket terbabit memaksa anaknya, Sapira, 19, menjadi GRO di ibu kota, selepas terdengar cakap-cakap di kalangan penduduk kampung kononnya ramai gadis Orang Asli kini terjebak dengan gejala tidak bermoral itu.

Sebelum itu, katanya dia terkejut apabila mengetahui selain anaknya, 11 lagi anak gadis Orang Asli berusia 16 hingga 20 tahun dari Kampung Dusun Pak Senam di sini, dan beberapa kampung di sekitarnya, dilarikan sindiket yang menawarkan kerja sebagai pembantu rumah di Jenjarum, Banting, Selangor, sejak 6 Februari lalu.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

“Saya mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kepada anak saya dan beberapa kali berulang-alik ke Banting untuk mencarinya, namun terpaksa pulang hampa manakala cubaan menghubungi telefon bimbitnya juga tidak berjawab,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Ismail berkata, dia membuat dua laporan iaitu masing-masing di Balai Polis Cheroh, Raub dan Balai Polis Banting, selepas anaknya bersama 11 lagi anak gadis Orang Asli gagal ditemui hingga kini.



Katanya, dia juga pernah menghubungi seorang wanita Cina yang dipercayai anggota sindiket terbabit bagi mengetahui pekerjaan anaknya, namun perempuan terbabit enggan memberitahu sebaliknya memaklumkan anaknya keluar bekerja dan terus mematikan telefon bimbit.

“Hingga kini, saya masih gagal bertemu anak saya walaupun beberapa kali turun naik ke Jenjarum, Kuala Lumpur dan Genting Highlands menyebabkan keluarga semakin resah.

“Saya ingatkan anak saya seorang saja yang dibawa lari, rupanya 11 anak gadis Orang Asli turut dibawa wanita terbabit dan mengalami nasib sama seperti saya apabila tidak dibenarkan bertemu keluarga.

“Saya tetap tidak akan berputus asa mengesan anak saya walaupun terpaksa menghabiskan banyak wang untuk tambang bas,” katanya yang masih sedih dengan kejadian itu.

Difahamkan, selepas menerima tawaran kerja itu, semua 12 gadis terbabit berusia antara 16 hingga 20 tahun tidak dibenarkan bercakap dengan keluarga masing-masing melalui telefon bimbit atau pulang ke kampung mereka.


Sebelum itu, semua gadis Orang Asli berkenaan diperkenalkan kepada seorang wanita Cina yang mendakwa mahu mencari pembantu rumah melalui seorang wanita Orang Asli yang tinggal di Pos Senderut, Kuala Lipis.

Wanita terbabit mengumpan gadis berkenaan dengan tawaran gaji lumayan jika sanggup bekerja sebagai pembantu rumah di Jenjarum.

“Setiap kali teringatkan anak, saya pasti menitis air mata kerana terlalui merinduinya. Saya cuba mencarinya di Jenjarum, dan Genting Highlands, tetapi gagal.

“Bapa mana yang tidak sayangkan anak...saya bela dia sejak lahir, sekarang senang-senang ada orang mengambilnya daripada saya,” rintihnya.

Menceritakan lanjut kejadian itu, Ismail berkata, Sapira mulanya enggan menerima tawaran bekerja sebagai pembantu rumah dan menolak pelawaan wanita terbabit secara baik, namun dia terus dipujuk.



Menurutnya, selepas termakan pujukan wanita terbabit, Sapira terus dibawa ke Jenjarum dan sejak itu, dia gagal menemui anaknya itu walaupun beberapa kali berkunjung ke rumah wanita terbabit untuk melihat keadaan gadis itu selepas beberapa bulan tidak dibenarkan bercakap melalui telefon bimbit.

“Sebaik tiba di rumah yang didakwa milik wanita terbabit, saya dapati semua pintu berkunci sebelum seorang jiran datang memberitahu pemilik rumah tiada kerana keluar bekerja dan mungkin akan pulang esoknya.

Sementara itu di Selangor, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Zulkifli Mohamed ketika dihubungi malam tadi mengesahkan bapa mangsa datang meminta bantuan polis mencari anaknya tetapi tidak menyatakan anaknya itu terbabit dalam kegiatan negatif seperti menjadi GRO atau diperdaya dan sebagainya.

“Bagaimanapun kami akan membantu menjalankan operasi mencari gadis berkenaan. Pegawai saya sedang mengumpul maklumat mengenai kejadian itu,” katanya.

“Kami akan meminta bantuan rakan setugas di Pahang untuk mendapatkan laporan polis dibuat lelaki berkenaan bagi siasatan lanjut,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya turut memberi jaminan akan memberi perhatian serius terhadap kes terbabit kerana ia membabitkan keselamatan dan kemungkinan ada kaitan dengan kegiatan tidak bermoral dijalankan sindiket tertentu.
Posted on 5:26 AM by kundangcrew and filed under | 0 Comments »

0 komen:

Post a Comment