Cek Mek Penggoda
DENGAN sentuhan belalai penuh emosi daripada gajah betina bernama Cek Mek, gajah jantan liar yang digelar Buyong Gagu itu seakan terpukau dengan pujukannya untuk berjalan bersama-sama.
Sesekali terlihat seperti ada perbincangan sulit antara kedua-duanya apabila Buyong tiba-tiba mendengus kuat.
Bijak menangani situasi, Cek Mek yang turut ditemani Color dan Timur pantas mengusap muka sang jantan dengan belalainya sambil memujuk untuk terus berjalan.
Masih di bawah pengaruh ubat pelali, Buyong hanya mampu mengikut langkah tiga gajah denak yang menjadi pengapit di hadapan, kiri dan kanannya.
Hujan yang turun malam tadi sedikit sebanyak menyukarkan perjalanan empat mamalia terbesar di atas daratan ini.
Dengan jalan yang sedikit becak, beberapa kali kaki lebar empat gajah ini hampir tergelincir namun tindakan pantas penjaga gajah, haiwan tersebut kembali berjalan rapat seperti dalam satu kumpulan menuju ke kawasan lapang.
Dalam operasi pemindahan gajah liar seperti yang dilakukan ke atas Buyong di Hutan Simpan Gapau, Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini, proses memujuk menggunakan gajah denak iaitu gajah pekerja betina dianggap amat penting.
Gajah itu terpaksa dipindahkan ke habitat asal yang lebih sesuai kerana ia telah tersesat dan memasuki kawasan konflik dengan manusia.
"Gajah adalah haiwan yang mudah stres dan boleh mati kerananya. Pernah ada pihak menggunakan jentera untuk mengeluarkan gajah, namun gajah itu mati kerana terlalu tertekan.
"Lantaran itu, kami menggunakan kaedah pujukan serta komunikasi antara gajah denak dan gajah liar yang dikawal dengan ubat pelali, operasi tangkap dan pindah lebih mudah dijalankan," ujar Penolong Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Ahmad Kamsul Alias.
Maut dipijak
Tidak hairanlah, strategi untuk menggunakan naluri sesama haiwan yang didokong kepakaran anggota pusat itu menjadi tulang belakang dalam ratusan operasi tangkap dan pindah gajah liar di seluruh Semenanjung.
Sungguhpun setiap operasi pemindahan berjaya dilakukan, tugas untuk menangkap dan memindahkan haiwan bersaiz besar ini menuntut persediaan yang bukan sedikit.
Pernah berlaku sebelum ini petugas meninggal dunia atau cedera parah selepas dirempuh dan dipijak gajah liar semasa operasi pemindahan dilakukan.
Menurut Pengarah pusat tersebut, Nasharuddin Othman, dengan saiz yang besar dan berat, usaha pemindahan perlu dilakukan berhati-hati.
Dalam satu tayangan video yang menyiarkan operasi tangkap dan pindah dua ekor gajah ke Taman Negara Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu, jelas dalam prosedur operasi, keselamatan nyawa petugas amat penting.
"Paling bahaya apabila operasi pemindahan dilakukan di hutan sekunder di mana tiada pokok besar untuk berlindung. Gajah terpaksa dipindahkan jika ia menjadi ancaman kepada penduduk setempat atau habitatnya semakin terancam.
"Disebabkan itu, dalam proses menangkap, kami gunakan tembakan ubat pelali. Seorang penembak yang memegang senapang ubat akan berada di hadapan manakala dua orang renjer dengan senapang rifel membantu di belakang," katanya.
Selepas mengenal pasti umur dan saiz gajah liar menerusi bekas jejak atau najis, dosej pelali yang sesuai akan ditentukan. Ubat pelali boleh membuatnya pengsan.
"Bukan sembarang orang boleh tembak kerana tembakan tepat pada bahagian bahu dan pinggul sahaja boleh menjatuhkannya," kata Nasharuddin yang mengetuai Unit Tangkapan Gajah sejak pusat perlindungan tersebut dibuka di Kuala Gandah pada tahun 1990.
Gali lubang
Dalam operasi yang melibatkan sekitar 10 hingga 15 kakitangan itu, proses memindahkan gajah boleh selesai dalam masa empat atau lima jam, namun, dalam beberapa kes besar yang melibatkan tangkapan berkumpulan, masa yang diperlukan adakalanya hingga berminggu-minggu.
"Selepas gajah pengsan, petugas akan segera merantai kaki gajah sebelum ia diberi suntikan antipelali untuk menyedarkannya," tambahnya lagi.
Sebaik sahaja gajah sedar namun masih di bawah kawalan ubat pelali, gajah-gajah denak sudah siap sedia untuk menerima arahan memujuk dan membawa gajah liar keluar.
Tali kok yang berada pada leher gajah-gajah denak akan disambungkan dengan rantai besi yang dipasang pada leher gajah liar memudahkan sang denak mengawal pergerakan sang liar selain memastikan haiwan-haiwan ini berjalan seiringan.
Seorang pelatih gajah pula akan menaiki setiap gajah denak untuk memandu arah jalan selain memberikan arahan kerja serta menarik rantai dengan lebih kuat atau sebaliknya.
Dalam proses pemindahan, biasanya dua atau tiga ekor gajah denak akan digunakan, bergantung kepada kesukaran yang perlu ditempuh seperti permukaan tanah yang tidak rata.
Selepas sampai ke kawasan lapang di mana lori yang akan memindahkan gajah liar ditempatkan, teknik memasukkan gajah ke dalam lori juga penting bagi meng elak gajah liar mengalami stres.
"Para petugas akan menggali lubang sehingga badan lori menjadi sama rata dengan tanah. Cara ini membuatkan gajah liar menganggap ia masih memijak tanah, sedangkan ia sudah masuk ke dalam lori.
"Selepas dirantai kemas, ia akan terus dibawa keluar. Biasanya kami akan bawa gajah keluar pada waktu lewat petang atau malam bagi mengelakkannya stres dan terdedah kepada cuaca panas.
"Melainkan pada hari hujan, tidak mengapa jika membawanya keluar pada waktu siang," jelasnya panjang lebar.
Tidak sukarkah memandu lori dengan muatan gajah? Menurut Nasharuddin, hanya pemandu berpengalaman boleh membawa gajah untuk dipindahkan.
"Mereka masih boleh membawa lori pada kelajuan normal iaitu 90 kilometer sejam, namun perlu berhati-hati.
"Rekod pindah gajah paling jauh yang pernah kita lakukan ialah dari Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor ke Taman Negara Tasik Kenyir di Hulu Terengganu," ujarnya.
Paling popular
Mengenali gajah penggoda atau gajah denak yang menjadi tulang belakang kepada setiap operasi pemindahan, gajah bernama Cek Mek merupakan gajah denak yang paling popular.
Dengan usia yang mencecah 70-an, Cek Mek yang dilahirkan di Thailand masih mampu menarik perhatian gajah-gajah liar.
Cek Mek telah mengikuti lebih daripada 650 operasi pindah gajah di seluruh Semenanjung sejak 32 tahun lalu.
"Cek Mek gajah yang tidak cerewet dan tahu apa tugasnya sebagai gajah denak," ujar pelatih gajah yang sering keluar operasi bersama Cek Mek, S. Premkumar, 30.
Sudah lima tahun mengenali Cek Mek, Prem cukup arif dengan perangai gajah denak itu.
"Senang jaga Cek Mek, apatah lagi ia memang sudah terlatih. Apa yang penting, bagaimana mahu menyesuaikan diri dengannya.
"Seperti haiwan lain, ia juga ada pantang-larang yang tersendiri dan boleh naik marah jika kita buat perkara yang tidak disukainya.
"Misalnya, Cek Mek tidak suka saya berjalan di sebelah kirinya kerana mata kiri Cek Mek sudah kabur. Saya juga sudah boleh agak mood Cek Mek, sama ada elok atau tidak. Apa pun, setakat ini, kami belum pernah lagi bergaduh besar," seloroh pemuda dari Perlis ini.
Berpengalaman dalam operasi pemindahan gajah, Prem menyifatkan pemindahan di kawasan hutan di Perak dan Kelantan sebagai mencabar.
"Keadaan muka bumi yang berbukit-bukau memang sangat mencabar kerana mudah untuk gajah yang sedang khayal hilang kawalan ketika diiring keluar.
"Jika kawasan berbukit, lori perlu diletak jauh sedikit dan keadaan tanah yang tidak rata adakalanya mengambil masa yang agak panjang untuk membawa gajah ke lori," ujarnya yang sanggup meninggalkan kerjaya di bank demi minatnya terhadap haiwan.
0 komen:
Post a Comment