Hari Valentine : Lokasi maksiat akan digempur bagi membendung gejala tidak bermoral


SHAH ALAM, 12 Feb – Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Marzuki Hussin berkata, pihaknya akan menjalankan operasi mencegah maksiat sempena sambutan Hari Valentine di seluruh Selangor dalam usaha membanteras serta membendung kegiatan maksiat yang semakin berleluasa hari ini.

“Kita akan mengarahkan pegawai penguat kuasa untuk turun padang dan meninjau kawasan-kawasan yang sering dijadikan lokasi maksiat bagi pasangan kekasih ini.

“Ini adalah salah satu usaha kita bagi membanteras perkara ini,” katanya dipetik daripada Sinar Harian.

Katanya, pihaknya akan memastikan operasi tersebut dapat berjalan dengan lancar.

“Walaupun anggota penguat kuasa berpengalaman dalam operasi seperti ini, kita mengharapkan operasi kali ini lebih lancar dan mencapai objektifnya,” katanya.

Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) meminta semua pihak supaya menghormati usaha Pas untuk menggerakkan operasi bagi membendung kegiatan tidak bermoral semasa sambutan Hari Valentine itu nanti.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzuan berkata, itu adalah antara usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi Islam, kehamilan luar perkahwinan, pembuangan bayi dan menjauhi budaya yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Aktiviti Hari Kekasih ini dirancang oleh pihak-pihak yang tidak mengambil kira adat dan agama masyarakat Islam di negara ini yang mana aktiviti itu merosakkan akhlak serta sosial masyarakat terutamanya muda-mudi Islam.

“Semua pihak perlu peka melihat keruntuhan akhlak dan moral yang semakin berleluasa hari ini,” katanya.

Katanya, DPPNS akan menggerakkan sukarelawan di seluruh kawasan di Selangor dalam membanteras kegiatan sosial pada hari tersebut.

“Kita anggarkan 50 tenaga sukarelawan di setiap daerah akan dikerahkan pada malam tersebut dan ia adalah salah satu usaha kita untuk kurangkan kadar gejala sosial di kalangan muda mudi ini.

“Oleh itu, kita minta semua pihak supaya bekerjasama dalam menangani perkara ini,” katanya.
Posted on 12:25 AM by kundangcrew and filed under | 0 Comments »

0 komen:

Post a Comment