Elak terbeli kereta potong






PERMINTAAN yang tinggi mewujudkan lambakan kedai menjual kereta terpakai seperti yang selalu dilihat di tepi-tepi jalan raya. Bagi mereka yang mempunyai bajet terhad, kereta terpakai adalah pilihan terbaik.



Walaupun kereta terpakai lebih murah berbanding kereta baru, namun wujud kebimbangan di kalangan pembeli mengenai kualiti kereta yang ingin dimiliki.

Orang ramai bimbang jika kereta yang dibeli bakal bermasalah dari segi mekanikal dan teknikal seterusnya menyusahkan mereka di kemudian hari dan mungkin kerap perlu dihantar ke bengkel.

Di sini, beberapa panduan yang membolehkan anda dapat lebih yakin dan pandai membuat penilaian untuk membeli kereta terpakai.

Penurunan nilai sebuah kereta baru bermula pada saat anda membawanya keluar dari bilik pameran. Sebagai contoh, sebuah Proton Wira 1.5 baru yang bernilai RM47,476, harganya jatuh pada kadar 24 peratus dalam tahun yang pertama.

Ini bermakna anda kerugian RM11,476.00 dalam tempoh itu. Penurunan nilai kereta Proton Wira 1.5 pada tahun kedua hanya dalam lingkungan lima peratus saja atau antara RM2,000 hingga RM3,000.

Bermakna, lebih murah untuk membeli kereta yang berusia setahun. Tambahan pula, kereta berkenaan akan mengalami penurunan nilai yang jauh lebih kecil berbanding kereta baru.

Pertama sekali, pembeli harus berwaspada supaya tidak diperdaya peniaga yang melakukan pelbagai tipu helah untuk meraih keuntungan. Berwaspadalah supaya anda tidak terbeli kereta terpakai yang pernah terbabit dalam kemalangan atau lebih malang lagi kereta potong.

Pembeli perlu membuat tinjauan harga kereta terpakai yang ditawarkan mengikut modelnya.

Jika ada kereta yang ditawarkan terlalu murah daripada harga sepatutnya, anda perlu bersikap lebih berhati-hati kerana kereta terbabit mungkin ada banyak kecacatannya.

Jurujual kereta di Proton Edar Glenmarie, Mohd Iskandar Abdul Hamid, berkata pembeli harus memberi tumpuan kepada bahagian luaran dan dalaman kereta terbabit.

Beliau berkata, pembeli harus memeriksa bahagian luar kenderaan dengan melihat sama ada terdapat bayangan lekuk.

“Untuk melihat sama ada terdapat lekuk atau tidak, kereta perlu diletak di tempat terang. Jika terdapat lekuk, kita boleh tahu sama ada kereta itu pernah disimen atau tidak.

“Ini akan menunjukkan ia pernah terbabit dalam kemalangan. Berdiri di hujung belakang kereta dan perhatikan garisan dari hujung depan ke belakang,” katanya.

Beliau berkata, selain itu bagi memastikan kereta itu pernah terbabit dengan kemalangan atau tidak, pembeli dinasihatkan buka bonet, perhatikan warna asal kereta di bawah skru (biasanya bahagian bawah skru tidak dicat kerana skru tidak dibuka).

“Jika warna asalnya berbeza atau ada bahagian yang warnanya lebih kelam atau terang berbanding bahagian lain, kemungkinan besar kereta itu pernah terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Selain itu, pembeli perlu memeriksa bahagian dalaman kereta terpakai sama ada ia pernah mengalami kemalangan teruk atau tidak.

Pembeli boleh mendapat jawapannya dengan duduk di tempat pemandu dan cuba goyangkan stereng atau selak pelapik bumbung. Perhatikan sekiranya ada sambungan atau tidak.

Kereta yang mengalami kemalangan teruk akan disambung di bahagian ini. Bagi mengenal pasti sama ada kenderaan itu bukan kereta potong, pembeli digalakkan selak permaidani lantai di belakang atau di bawah tempat duduk pemandu, perhatikan jika ada sambungan.

Ciri terpenting kenderaan iaitu enjin, perlu diberi perhatian teliti. Antara cara untuk menguji enjin adalah memandu ujinya. Hidupkan enjin dan perhatikan asap yang keluar.

Bawa kereta dengan tanpa membuka radio dan dengar sama ada terdapat bunyi-bunyi pelik datang dari mana-mana bahagian kereta.

Periksa sama ada semua tingkap dan kunci pintu berfungsi dengan baik.

Minta mekanik periksa bawah kereta untuk melihat sama ada minyak bocor, kotak gear bocor, ekzos bocor, sistem suspensi bocor dan keadaan badan kereta berkarat atau badan kereta adalah kereta potong.

Keadaan enjin juga boleh diperiksa dengan merasa menggunakan jari sama ada minyak hitam berketul, berpasir, bercampur air, masih melekit tapi warna terlalu hitam.

Semua itu menandakan enjin tidak bersih. Kalau bercampur dengan air, batalkan niat untuk beli kereta itu kerana mungkin satu gasket dalam enjin sudah bocor.

Pembeli juga boleh menguji pemanduan dengan memandu kereta pada jalan yang lurus, lepaskan stereng dan kereta mesti bergerak lurus bukan menghala ke kiri atau kanan saja.

Kalau ia ke kiri atau ke kanan, ini mesti ada masalah pada sistem stereng.

Panduan terakhir adalah dapatkan nombor casis, nombor enjin, jenis enjin, tahun dibuat dan jenis kenderaan.

Semua maklumat itu boleh didapati daripada geran kereta. Periksa sama ada sama atau tidak seperti yang tercatat di atas geran kereta. Bawa semua maklumat itu ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan balai polis trafik terdekat dan periksa sama ada kereta berkenaan selamat digunakan ataupun tidak.

TIP Pastikan kenderaan tak pernah kemalangan

- Tinjau harga kereta terpakai yang ditawarkan mengikut modelnya. Jika ada yang ditawarkan terlalu murah, anda perlu lebih berhati-hati kerana mungkin banyak kecacatannya.

- Periksa bahagian luar kereta dengan melihat sama ada terdapat bayangan lekuk. Jika berlekuk, kereta itu pernah disimen yang menunjukkan ia pernah terbabit dalam kemalangan.

- Berdiri di hujung belakang kereta dan perhatikan dari hujung depan ke belakang. Ia sepatutnya lurus.

- Buka bonet, perhatikan warna asal kereta di bawah skru (biasanya bahagian bawah skru tidak dicat kerana skru tidak dibuka). Jika warna asal berbeza atau ada bahagian yang warnanya lebih kelam atau terang berbanding bahagian lain, kemungkinan besar kereta itu pernah terbabit dalam kemalangan.

- Periksa bahagian dalaman kereta terpakai sama ada ia pernah mengalami kemalangan teruk atau tidak. Goyangkan stereng atau selak pelapik bumbung. Perhatikan sekiranya ada sambungan atau tidak.

- Selak permaidani lantai di belakang atau di bawah tempat duduk pemandu. Perhatikan jika ada sambungan.

- Pandu uji kereta. Bawa kereta dengan tanpa membuka radio dan dengar sama ada terdapat bunyi pelik datang dari mana-mana bahagian kereta.

- Periksa sama ada semua tingkap dan kunci pintu berfungsi dengan baik.

- Dapatkan nombor casis, nombor enjin, jenis enjin, tahun dibuat dan jenis kenderaan.


*berhati-hatilah semasa membeli kereta
Posted on 9:18 PM by kundangcrew and filed under | 2 Comments »

2 komen:

zimmy libra said... @ May 8, 2015 at 10:48 AM

Sipp....!!!👍👍👍

zimmy libra said... @ May 8, 2015 at 10:48 AM

Sipp....!!!👍👍👍

Post a Comment